Wanita pasca moden ini memperlihatkan seorang yang serba boleh, mampu menyaingi lelaki dalam semua perkara, wanita sebagai anak, isteri, ibu, dan pekerja.
Pepatah Melayu ada mengatakan ‘tangan yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia.
PENGURUSAN MASA SANGAT PENTING UNTUK WANITA
Sekarang, sudah tiada alasan lagi untuk anda hendak bekerja, dalam masa yang sama menjadi isteri dan ibu.
Namun, untuk merealisasikan semua tugas itu, wanita perlu ‘soft skills’ untuk memastikan semua perkara dapat dilakukan dengan baik dan menepati masa.
Dengan mempraktikkan tips pengurusan masa yang bijak, anda sebenarnya mampu untuk bekerja dalam masa yang sama mampu menguruskan keluarga.
TIPS PENGURUSAN MASA BAGI ‘SUPERWOMAN’ YANG SERBA SIBUK
Jom kita amalkan tips pengurusan masa di bawah ini.
1. TIPS PENYEDIAAN MAKANAN
Bagi mempercepatkan penyediaan makanan, sewaktu hari minggu, atau masa kelapangan, gunakan sifat rajin anda untuk mengupas bahan-bahan asas memasak seperti mengupas bawang putih, bawang merah dan halia kemudian dikisar secara berasingan.
Setelah itu masukkan ke dalam bekas dan simpan dalam peti ais.
Mudah bukan jika anda nak memasak kelak, bahan-bahan asas telah tersedia.
Jika anda memasak menggunakan lada kering, pastikan anda telah merebus lada tersebut, kisar dan simpan di dalam peti ais.
Begitu juga dengan sayur-sayur yang tahan lama boleh dipotong terlebih dahulu, siang ikan, membersihkan ayam dan kemudian simpan.
Bagi ibu yang ada anak kecil yang perlu diberi bubur, anda boleh masak dengan segera bubur tersebut, tetapi perlu ada caranya.
Kaedah ini akan mempercepatkan proses anda untuk memasak di hari bekerja.
2. TIPS MENGEMAS RUMAH
Untuk pastikan masa anda mencukupi untuk mengemas rumah, pastikan seisi rumah mempraktikkan amalan ‘dah guna, simpan’.
Jangan biarkan pinggan tak dicuci selepas makan atau masak. Menangguh kerjaakan hanya membuatkan anda lebih stres.
Jika anda mengamalkan cara ini, walau pun hari bekerja, anda masih boleh mengekalkan kebersihan rumah.
3. TIPS MEMBASUH & MENYIDAI BAJU
Basuh baju paling senang dan mudah jika di rumah anda ada mesin basuh automatik.
Semasa hari bekerja, pastikan 2 hari sekali anda mesti membasuh baju. Jangan biarkan baju disimpan dan dibasuh ketika hujung minggu.
Jika anda hanya sempat membasuh baju selepas pulang kerja, pastikan anda bangun awal pagi untuk menyidainya.
Minta bantuan suami untuk menyidai jika terlalu banyak.
4. TIPS SETERIKA BAJU
Cari waktu sesuai untuk anda menggosok semua baju yang akan dipakai dalam seminggu.
Lakukan sambil menonton tv atau berbual dengan keluarga supaya anda tidak terasa bebanannya.
Bagi menggosok baju batik sutera, cara paling mudah dan menjimatkan masa, anda simpan baju itu di dalam peti sejuk beku selama 15-20 minit, kemudian barulah anda gosok tanpa menggunakan air. Baju itu akan lebih mudah untuk digosok.
5. TIPS MELUANGKAN MASA BERKUALITI DENGAN ANAK & SUAMI
Ambil peluang berbual dengan keluarga ketika makan. Ajak sekali anak dan suami menyediakan makanan bersama, terutamanya di hujung minggu.
Kalau mereka tak pandai memasak, siangkan sayur, sediakan pinggan mangkuk, atau buat minuman.
Selain itu, pastikan kerja-kerja di pejabat tidak sama sekali di bawa pulang ke rumah, walaupun anda ingin buat ketika anak tidur.
6. TIPS KESIHATAN
Untuk memastikan anda kekal aktif dan sihat bertenaga, Ambillah makanan yang sihat serta vitamin yang membantu memberi kesegaran badan.
Selain itu, amalkan sedikit senaman yang dapat memberi tenaga berpanjangan.
Di pejabat juga boleh bersenam sebenarnya. Pastikan semasa datang ke pejabat, anda pakir kereta jauh sedikit dari tempat bekerja. Jadi, anda akan terpaksa berjalan kaki untuk ke tempat kerja, itu juga merupakan satu senaman.
Selain itu, ketika di pejabat, guna tangga untuk bergerak. Elakkan daripada menggunakan lif.
Apabila anda aktif dan banyak bergerak, jantung anda akan kekal sihat.
Apabila anda sihat, anda mampu untuk menjadi ‘Superwoman’.
WANITA PERLU ADA DISIPLIN UNTUK MEMBINA KELUARGA BAHAGIA
Setiap orang mempunyai cara tersendiri untk menguruskan keluarga, tips pengurusan masa ini sekadar perkongsian bersama.
Tetapi, kita sebagai wanita perlu ada keazaman yang tinggi untuk menjadi insan yang terbaik untuk orang tersayang.
Utuh dan kukuhnya sesebuah institusi kekeluargaan bergantung kepada mantapnya jalinan ukhwah yang terbina dan didikan agama yang sempurna.
No comments:
Post a Comment